Liarnya Nafsu Ini


Aduh liarnya nafsu ini

Degil dan jahat, kemahuannya dahsyat

Tuhan! Tidak mampu aku menjaga, mengawal dan mendidiknya kalau bukan Engkau

Aku cuba menghalakannya mengikut kehendak Engkau,

dia pula yang bawa aku kepada kehendaknya

Selalu sahaja aku tarik tali dengan nafsu

Aku hendak bawa kepada Engkau, tapi dia bawa kepada dunia yang menipu

Di dalam perlawanan itu aku selalu sahaja dikalahkannya

Letih aku dibuatnya, untuk mengekang kehendak-kehendaknya,

Tapi dia berjaya juga, aku selalu sahaja kecundang

Memang aku tidak mampu mendidiknya, kalau tidak dapat pertolongan daripada Engkau

Tolonglah aku, bantulah aku melawan hawa nafsuku agar aku dapat mengalahkannya

Berilah aku kekuatan mendidik dan mengendalikannya

agar aku tidak terjerumus kepada kejahatan

Kuasa ada pada tangan Engkau, kemampuan adalah pada-Mu

Kalau kuasa Engkau itu Engkau beri sedikit sahaja kepadaku,

nafsu dapat dikalahkan

Dengan rahmat-Mu ya Allah, ya Tuhanku, bantulah aku

Jangan biarkan aku bersendirian menghadapi nafsuku

Aku tidak mampu, aku tidak ada daya melawan nafsu

Engkau sahajalah yang mampu

Tolonglah aku melawan nafsuku

Agar aku dapat menuju-Mu, tanpa halangan dari nafsu

oleh : Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi